BN rasuah tanah menjelang pilihan raya

MARAN, 1 Ogos (Hrkh) – Pilihan raya umum yang semakin hampir menjadikan jentera Barisan Nasional (BN) dan Umno semakin rajin berkempen dan mendekati rakyat dengan berbekalkan pelbagai tektik lama dan baru, antaranya menawarkan tanah berkelompok, pemimpin bersama rakyat dan motivasi pelajar.

ImageItulah yang berlaku kepada penduduk dikawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul, Maran, beratus orang penduduk dijemput melalui surat oleh Pejabat Tanah dan Daerah Maran untuk menghadiri temuduga pemilihan peserta Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Bukit Ketawak, Mukim Cenur 24 Julai lalu di rumah Rakyat Jengka 3, dekat sini.

Surat jemputan ditandatangani Ketua Penolong Pegawai Daerah (T) Maran, Masari Abdul Rashid.

Menurut sumber, lebih 500 penduduk hadir menyertai temuduga yang dikendalikan oleh lima orang pegawai termasuk Adun Kuala Sentul, Rosni Zahari.

Bakal peserta dibahagikan kepada lima kumpulan mengikut taraf dan kedudukan didalam masyarakat. Bagi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) , Ketua Umno dan pemimpin masyarakat yang dipercayai mempunyai pengaruh mereka ditemuduga sendiri oleh Adun manakala peserta lain ditemuduga oleh pegawainya.

“Ini menimbulkan rasa curiga kami terhadap projek berkenaan seolah-olah ada sesuatu disebaliknya kerana cara temuduga dibuat itu amat berebza sekali, tambahan pula kawasan Bukit Ketawak adalah kawasan hutan yang belum dibangunkan,” kata sumber itu.

Menurut sumber itu lagi, beliau merasa hairan kerana seingatnya beliau tidak pernah mengisi apa-apa borang permohonan untuk menyertai mana-mana projek tanah berkelompok tiba-tiba dipanggil untuk ditemuduga.

“Pelik juga saya, tidak pernah mengisi apa-apa borang permohonan tanah kelompok tiba-tiba dipanggil untuk temuduga, bagaimanapun saya hadir untuk mengadu nasib di samping melihat bagaimana proses temuduga dibuat,” ujarnya.

Berdasarkan penilaianya, beliau yakin temuduga berkenaan adalah projek wakil rakyat berkenaan untuk mengambil hati penyokongnya yang mula mempertikaikan beberapa tindakan Adun berkenaan khususnya dalam isu pemilikan tanah dan projek sebelum ini.

Justeru itulah maka mana-mana pemimpin masyarakat seperti ahli JKKK, Ketua Umno dan pemimpin lain yang dianggap berpengaruh ditemuduga sendiri oleh Adun berkenaan.

“Inilah rasionalnya mengapa pengasingkan bakal peserta dibuat kerana Adun mempunyai agendanya sendiri di sebalik temuduga RTK berkenaan,” kata sember itu.

Sementara itu, Ketua Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Bahagian Maran, Bistamin Bakar ,47, menyifatkan isu RTK Bukit Ketawak adalah projek segera menjelang pilihan raya.

“Biasalah pemimpin Umno buat begitu menjelang pilihan raya, selepas pilihan raya ia akan senyap dan timbul semula menjelang pilihan akan datang, inilah yang berlaku kepada projek RTK Bukit Ketawak ini, ia pernah timbul dalam pilihan raya sebelum ini.

“Bagi saya apa yang perlu ialah rakyat mesti merdeka daripada penjajahan minda ini, rakyat perlu mengingati semua janji yang dibuat pemimpin menjelang pilihan raya, jangan sekali-kali lupa, ini penting untuk menyelamatkan diri daripada terus menjadi mangsa temberang selama-lamanya,”katanya. – mks.

Tinggalkan komen