Pemuda Pahang anjur perhimpunan, jambori hadapi pilihan raya

Ustaz Nasruddin Hassan-Ketua Pemuda Pas PahangTEMERLOH, 19 Jun (Hrkh) – Pemuda PAS Pahang merancang dua program besar-besaran melibat perhimpunan anggotanya dari seluruh negeri pada bulan Julai dan Ogos ini.

Bercakap kepada Harakah selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli jawatankuasa Pemuda PAS Pahang dekat sini, Ketuanya Ustat Nasruddin Hasan Tantowi berkata, kedua-dua program itu adalah antara persiapan pemuda negeri bagi menghadapi pilihan umum ke-12.

Difahamkan program Jambori Amal akan diadakan di Balok, Kuantan pada 20,21 dan 22 Julai manakala pada 12 Ogos pula Perhimpunan Pemuda PAS Pahang berlangsung di Kompleks Putera, Inderamahkota.

Katanya, kedua-dua program itu akan menghimpunkan pemuda-pemuda dari seluruh negeri dan menjadi titik tolak kepada persiapan pemuda menghadapi pilihan raya umum.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Pemuda PAS Pahang menubuhkan satu Lajnah baru dalam organisasinya ialah Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam selaras dengan kewujudan Lajnah berkenaan di peringkat pusat.

Nasruddin mengumumkan Lajnah baru itu dipengerusikan oleh Ustaz Shahril Azman, Ketua Pemuda Pas kawasan Kuala Krau.

Menurutnya, dengan penubuhan lajnah baru itu menjadikan peranan dakwah yang dahulunya diletakkan bersama Lajnah penerangan kini menjadi lajnah tersendiri. “Kita berharap dengan kewujudan lajnah baru ini akan menyemarakkan kerja-kerja dakwah dan pembelaan Islam serta menangani pelbagai isu berkaitan masalah umat Islam, seperti saudara baru, isu murtad dan sebagainya dengan lebih berkesan,” ujarnya. – mks.

Tinggalkan komen