Mesyuarat Agung PAS Kawasan Maran kali ke 29 .

ceriaMARAN :- PAS Kawasan Maran telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agong Kali Ke- 29 pada 25hb April 2009 (sabtu) baru-baru ini di Madrasah Saadah Addaarani, Chenor, Pahang. Mesyuarat Agong tersebut telah dirasmikan oleh YB Dr Suti Mariah Mahmud.. Seramai 190 orang perwakilan dari 39 cawangan-cawangan PAS di seluruh Kawasan Maran telah hadir.
Mesyuarat pada tahun ini dianggap penting kerana berlaku pemilihan Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan setelah AJK yang dipilih pada tahun 2009 telah genap 2 tahun pada tahun ini.

Ucapan Yang DiPertua PAS Kawasan Maran, Tuan Guru Haji Mohd Baqi Othman dalam ucapannya meminta setiap ahli bersedia untuk menjadi pemimpin apabila diperlukan.Katanya, beliau membayangkan tempoh kepimpinannya sudah sampai ke penghujungnya dan memerlukan kepimpinan baru.

Dalam Ucapan perasmikan  Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmood yakin masa depan PAS adalah cerah berikutan sokongan dan keyakinan rakyat terhadap PAS bersama Pakatan Rakyat dan untuk berkuasa PAS memerlukan sokongan daripada seluruh lapisan masyarakat termasuk bukan Islam.

Katanya, hari ini PAS telah berjaya mendapat sokongan daripada sebahagian masyarakat bukan Islam sehingga wujudnya kelab penyokong PAS dimana-mana. Kini hampir semua negeri telah mempunyai kelab penyokong PAS di negeri masing-masing.

“Sokongan positif masyarakat bukan Islam telah membawa politik baru khususnya dalam hubungan PAS dan bukan Islam, malah rakan-rakan bukan Islam berminat untuk mengkaji Islam. Bahkan ada di antara mereka mencadangkan supaya diwujudkan jawatankuasa bagi mengkaji Syariah Islam termasuk Hukum Hudud, ini disarankan oleh seorang anggota parlimen DAP bukan Islam,” ujar Mariah.

Menurutnya, perkembangan politik baru ini memerlukan ahli dan pemimpin PAS meningkatkan kemahiran berdakwah dan politik serta ilmu-ilmu tertentu bagi memenuhi keperluan semasa termasuk untuk menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan rakan–rakan bukan Islam dalam Pakatan Rakyat.

Juga untuk berhadapan dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat sendiri khususnya kemahiran berhujah dan sebagainya yang selama ini agak asing bagi PAS.

Jelas beliau, dari pengalaman beliau sebagai ahli parlimen muslimat daripada PAS sememangnya berhadapan dengan pelbagai cabaran yang mencabar.

Beliau mengambil contoh, umpamanya beliau terpaksa memakai sarung tangan untuk memudahkanya berjabat tangan dengan para penyokong dan pengundi lelaki bukan muhrim, ia sedikit sebanyak menyukarkannya pada awal–awal dahulu.

“Rakan-rakan kita tidak memahami isu aurat maka ia perlu diperjelaskan kepada mereka,” ujarnya.

Dr Mariah yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, kepimpinan PAS memerlukan kekuatan untuk mempertahankan apa yang PAS miliki contoh dalam isu pembahagian kerusi dan sebagainya.

“Kita mesti mengekalkan apa yang telah kita miliki, jangan mudah mengalah kepada desakan rakan dalam isu berkenaan kerana ini adalah survival parti yang mesti dipertahankan,” katanya.

Bagi jawatan YDP Pas Kawasan yang disandang oleh Tuan Guru Haji Mohd Baqi Osman tmenang tanpa bertanding . Manakala Jawatan Timbalan YDP yang disandang oleh Ustaz Manaf dicabar oleh Ustaz Ramli Abdul Rahman Naib YDP, dimenangi oleh Ustaz Ramli Abdul Rahman manakala jawatan Naib Yang Dipertua diamanahkan kepada muka baru Jaafar Mat Tam.

Manakala jawatan AJK PAS Kawasan yang memerlukan 16 orang dipilih ditandingi oleh 64 orang calon. Kebanyakan penyandang jawatan sesi lepas didapati bertanding untuk mempertahankan jawatan masing-masing.

Tinggalkan komen