Pendekatan Siasah Syari’yyah di Malaysia

Pelbagai pihak kelihatan masih keliru dan curiga terhadap Pendekatan Siasah Syari’yyah yang dicadangkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat untuk dilaksanakan di Negara ini , khasnya di negeri – negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat . Lebih malang apabila ia ditempelak dan dibahas tanpa ilmu sebaliknya penuh curiga dan berniat tidak baik terhadapnya.

Saya melihat fenomena ini berurutan dari sindrom Islamphobia yang dialami oleh masyarakat hari ini dan biasnya turut dirasai oleh sebahagian muslim yang bersyahadah . Semakin hari ruang kecurigaan terhadap Islam dan perlaksanaannya semakin lebar , sementara para ulama yang diharapkan untuk mempertahankan kesucian Islam , sebahagiannya lebih memberi tumpuan terhadap isu – isu khilafiah atau persoalan tengek bengek yang sering menimbul ketegangan dan keresahan dikalangan ummah tanpa mendidik mereka dengan ilmu yang jelas dan mencukupi.

Terdapat jua sebahagian pemimpin ummat Islam yang hanya menumpu kepada strategi untuk mengekalkan survival politik mereka dengan tidak memberikan perhatian terhadap strategi bagaimana Islam dapat dipraktiskan malah dihayati secara benar dan jujur sehingga tersingkap segala kecurigaan mahupun salah faham terhadapnya.

Banyak pihak perlu mengambil tanggungjawab dengan tercetusnya fenomena ini .

Pertama :

kepada golongan Islam agar tidak prejudis terhadap agama anutan sendiri . Jua tidak melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan salah tanggap terhadap agama suci ini. Elakkan diri dari terjebak dalam kancah maksiat dan aktiviti yang tidak bermoral dengan membawa palit lumpur lalu mencemarkan kesucian Islam ini.


Pemegang urusan politik ummat Islam pula jangan dilihat hanya mementingkan karier politik mengatasi kecintaan terhadap agama. Membiar Islam dibelasah saban waktu asal cita – cita politik tercapai adalah sikap yang tidak wajar justeru politik ummat Islam tidak seharusnya gelincir dari landasan Islam itu sendiri.


Kedua :


Kepada golongan non muslim yang pastinya tidak memahami secara mendalam bagaimana Islam sebagai cara hidup mestilah terlebih dahulu mendapat pandangan atau maklumat jelas dari para ulama’ Islam sebelum membuat sebarang kenyataan atau dakwaan , apatah lagi berupa kritikan terhadap Islam.


Janganlah membuat kesimpulan mengenai Islam berasaskan apa yang dilihat oleh mata kasar lalu membuat nilaian secara melulu . Tentu sahaja perbincangan atau dialog mampu menenangkan keadaan sekaligus menceritakan betul duduknya yang sebenar.


Tindakan berasaskan dendam politik atau rasa curiga antara satu sama lain pastinya tidak membawa kepada kerukunan hidup bermasyarakat apatah lagi berbeza ideology dan anutan agama. Tiada masaalah yang tidak dapat dirungkai , sementelah pula masaalah itu adalah masaalah agama yang sememangnya agama mengajar penganutnya menjadi insan yang baik .

Nilai kebaikan itulah yang akan menjadi modal untuk membolehkan dialog , muzakarah atau perbincangan dilakukan dengan semangat inginkan kesejahteraan , kedamaian dan ketenteraman antara kaum dan agama dalam Negara ini .


Kerajaan Pakatan Rakyat

PRU 12 telah menyaksikan bagaimana Pakatan Rakyat meraih kemenangan dengan upaya membentuk kerajaan di 5 buah negeri . Tentu sahaja kemenangan itu bermaksud rakyat memberi harapan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat untuk menggantikan kerajaan Barisan Nasional setelah mereka tidak lagi mampu menanggung sengsara berada di bawah system pemerintahan dan pentadbiran Barisan Nasional yang penuh dengan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Harapan mereka agar Kerajaan Pakatan Rakyat , biarpun parti mana yang dominan di negeri – negeri tersebut membawa sinar keadilan , ketelusan , kesaksamaan , ketenteraman dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat jelata.

Punah dan musnah harapan rakyat andai Pakatan Rakyat gagal membawa sinar baru kepada mereka malah kesal dan kecewalah mereka kerana memberi mandat dan kuasa kepada Pakatan Rakyat yang hanya mengulang sejarah pincang Kerajaan Barisan Nasional .

Dalam erti dan nilai yang lain , mereka tidak mahu menumbangkan kerajaan Buaya dan menegakkan kerajaan Harimau , di mana mereka tetap menjadi mangsa .

Pendekatan Siasah Syari’yyah .

Dewan Pemuda PAS Pusat rasa terpanggil bagi memastikan agar rakyat tidak terus menjadi mangsa kepincangan sebuah pemerintahan setelah mereka sekian lama menderita dan sengsara berada di bawah regim Barisan Nasional yang tidak sudah – sudah mengeksploitasi rakyat yang mereka pimpin.

Bertolak dari keinsafan ini , Dewan Pemuda PAS Pusat sebagai sayap penting kepada Parti Islam Se Malaysia ( PAS ) yang pastinya pula Islam menjadi asas perjuangan , ingin mencadangkan satu pendekatan yang boleh diguna pakai dalam system pentadbiran dan pemerintahan Negara amnya dan negeri – negeri Pakatan Rakyat khasnya , agar keadilan , ketelusan , kesejahteraan dan keamanan benar – benar dapat ditegakkan dan rakyat terbela.

Itulah cita – cita murni Dewan Pemuda PAS Pusat dan saya percaya semua pihak bersetuju untuk mewujudkan keadilan , ketelusan , kesaksamaan , kesejahteraan dan keamanan dalam Negara ini walau apa pun anutan agama dan ideology .

Justeru itu , inilah yang mahu dibawa oleh Dewan Pemuda PAS Pusat melalui cadangan Pendekatan Siasah Syari’yyah dalam pentadbiran dan pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat sebagaimana yang dikemukakan oleh al Fadhil Ustaz Azman Syafawi Abd Rani selaku Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan baru – baru ini .

Saya tidak Nampak ianya perlu dicurigakan apalagi menolak dan mentohmahnya dengan pelbagai tanggapan dan sinis yang tidak wajar terhadap cadangan tersebut . Selain daripada ianya masih diperingkat cadangan , Pendekatan Siasah Syari’yyah perlu diberi peluang untuk dibentang dan dikemukakan dahulu sebelum pihak – pihak tertentu mengkritik dan menghentam sehingga lajaknya sampai mempertikaikan kesucian agama Islam dan peribadi ulama’ – ulama’ Islam yang beramal dengannya.

Atas sifatnya sebagai satu cadangan , selayaknya ia dialu – alukan untuk disemak dan dinilai bahkan dibincang dan dibahas apakah ia boleh diterima atau tidak . Mana – mana negeri yang tidak mahu menerimanya , selain daripada mereka berhak menolak dengan baik tanpa perlu memperlekeh apalagi mempertikai Islam itu sendiri , mereka juga diberi peluang untuk membuktikan dimana kesalahan Pendekatan Siasah Syari’yyah sehingga ia wajar ditolak ?

Islam sendiri tidak pernah memaksa mana – mana pihak non muslim untuk menerima dan menganut Islam sebaliknya sering mengajak agar semua pihak berfikir dengan wajar dan rasional dalam menilai kebenaran. Islam juga mengajar agar kita menerima suatu yang bermanafaat dan menolak suatu yang mengundang mudharat .


Siasah Syari’yyah mempunyai prinsip umum dalam perlaksanaanya , dimana menurut perkiraan Dewan Pemuda PAS Pusat ia wajar dilaksana atau diterapkan dalam pentadbiran dan pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat . Prinsip – prinsip umum yang saya maksudkan itu seperti :


Sadduz Zaraai’ سد الذرائع
Raf’ul Haraj رفع الحرج
Tahqiqul A’daalah تحقيق العدالة
Dar ul Mafaasid afdhal min Jalbil Masoolih درء المفاسد أفضل من جلب المصالح

Sadduz Zaraai’ سد الذرائع


Satu prinsip yang membentuk tindakan , peraturan atau undang – undang pencegahan agar tidak berlaku malah tidak mendorong tercetusnya maksiat dan mungkar atau penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Ianya seperti menghalang apa jua unsur yang menyuburkan mungkar tersebut . Prinsip ini menepati kaedah mencegah tentu sahaja lebih baik daripada merawat.

Raf’ul Haraj رفع الحرج


Mengangkat , merungkai atau menyelesaikan apa jua yang menjadi batu penghalang agar undang – undang , peraturan dan apa jua keputusan yang membawa kebaikan kepada masyarakat umum dapat dilaksanakan dengan baik .

Tahqiqul A’daalah تحقيق العدالة


Memastikan keadilan tertegak dan ianya boleh dialksanakan melalui pembentukan satu jawatankuasa khas atau suruhanjaya bebas yang mengawal tindakan kerajaan agar tidak menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa. Badan – badan seperti Hisbah dan lainnya turut membawa maksud yang sama demi mengawal Kerajaan Yang dibentuk agar tidak terjebak dalam pengkhianatan hak dan amanah rakyat .

Dar ul Mafaasid afdhal min Jalbil Masoolih درء المفاسد أفضل من جلب المصالح

Menolak kerosakan atau kemusnahan terlebih afdhal daripada mengundang kebaikan apabila situasi ini berlaku dalam satu masa yang sama . Justeru menolak kerosakan atau kejahatan itu sendiri adalah satu kebaikan buat ummah . Sebagai contoh , menolak aktiviti – aktiviti tertentu yang menghela ke arah mungkar sekalipun dilihat boleh membawa pulangan ekonomi yang lumayan kepada masyarakat .

Atau juga boleh difahami dengan tumpuan dan peruntukan yang dilabur untuk membenteras dan menghapuskan segala kerosakan , kemungkaran atau kejahatan itu terlebih baik dan wajar walaupun peruntukan dan pelaburan untuk aktiviti kebaikan yang lain menjadi kecil . Lantaran tindakan menghalang atau menghapuskan mungkar dan kerosakan merupakan satu kebaikan yang besar buat rakyat seluruhnya.

Jika ini prinsip dan kaedah yang dicadangkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat kepada Kerajaan Pakatan Rakyat melalui Pendekatan Siasah Syari’yyah , sila beritahu kepada saya , dimanakah salah dan silapnya sehingga ada pihak – pihak tertentu berasa curiga dan bimbang .


Lebih malang kalau ada dikalangan pemimpin muslim sendiri yang tidak mahu perkara ini dilontarkan kerana bimbang ianya merugikan politik Pakatan atau bimbang kalau – kalau ia tidak disenangi oleh non muslim .


Persoalannya sampai bila mereka mahu bersikap tidak jujur dalam perjuangan dan politiknya. Menyembunyikan Islam yang diperjuang kerana ingin membeli hati non muslim , inilah satu sikap berpura – pura yang sering mengundang kekeliruan dan rasa curiga dikalangan rakan – rakan non muslim terhadap Islam agama suci ini .

Kenapa tidak dijelaskan kepada mereka hasrat perjuangan dan risalahnya kepada non muslim melalui pendekatan Islam yang benar sebagaimana Nabi saw. tidak pernah menyembunyikan Islam untuk menawan hati non muslim . Sebaliknya Nabi saw berjaya menawan hati non muslim dengan memberikan penjelasan yang tepat mengenai Islam .

Islam bukan agama ciptaan manusia bahkan bukan juga ciptaan Muhammad saw. Ia adalah wahyu Ilahi , tuhan yang mencipta manusia . Berasaskan reality ini pemimpin jamaah Islam sendiri mesti yakin dan optimis terhadap Islam yang diperjuangkan oleh mereka . Sebagaimana Islam yang di dokong itulah Islam yang mesti dikemukakan kepada non muslim secara jujur dan berani . Tidak ada Islam berlainan pakej untuk dikemukakan kepada non muslim .


Saya percaya non muslim akan cepat memahami dan menyedari malah menerima bahawa Islam adalah agama yang benar sekali pun enggan untuk menganut agama Islam , sementara Islam sememangnya tidak memaksa sesiapa pun untuk menganut agamanya.

Seminar Pendekatan Siasah Syari’yyah


Dewan Pemuda PAS Pusat akan mengadakan seminar khas pada bulan ogos ini untuk membincangkan Pendekatan Siasah Syari’yyah di negeri Pakatan Rakyat yang melibatkan panel dan peserta dari kalangan ulama’ , tokoh – tokoh sarjana Islam , professional , aktivis social dan penganalisis politik sebelum satu dokumen cadangan Pendekatan Siasah Syari’yyah di kemukakan secara rasmi .

Nasrudin bin Hassan at Tantawi
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusa

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: