CAIRO: Sheikh Al-Azhar, Syeikh Mohamed Sayed Tantawi meninggal dunia akibat serangan jantung hari ini semasa melakukan lawatan ke Arab Saudi.

Tantawi, 81, meninggal dunia di ibu negara Arab Saudi, Riyadh.

Al-Azhar, antara pusat pengajian Sunah paling terkemuka dalam dunia Islam, mengendalikan sekolah, universiti dan institusi pendidikan lain di seluruh Mesir.

Tantawi sering dikatakan sebagai pemimpin rohani kepada penganut Islam Sunah.

Pada 1986, Allahyarham dilantik sebagai Mufti Besar Mesir pada sambutan hari lahirnya yang ke-58.

Beliau memegang jawatan itu selama sepuluh tahun sehingga dilantik menjadi Imam Besar Masjid Al-Azhar dan Sheikh Besar Al-Azhar oleh Presiden Mesir, Hosni Mubarak pada 1996. – AP

Mazlan ditahan reman hingga hari ini

TEMERLOH, 11 Mac: Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman ditahan satu hari atas untuk siasatan kerana dakwaan menceroboh Felda Lembah Klau.

Difahamkan Mazlan membuat lawatan ke Felda berkenaan untuk menziarahi tiga peneroka yang ditahan polis sebelum ini atas dakwaan menceroboh kawasan Empangan Krau serta mengadakan dialog dengan generasi kedua di Felda berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub petang semalam ketika membuat laporan polis berikutan tindakan pengurusan Felda bekenaan yang cuba menahannya.

Pagi semalam, Mazlan dibawa ke Mahkamah Majistret di hadapan Siti Hajar Mustaffa untuk proses tahanan reman.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani kelihatan turut berada di mahkamah bagi memberikan sokongan kepada Mazlan.

Yang Dipetua PAS Kawasan Raub, Dr Mohd Nilam Manaf ketika dihubungi mengesahkan Mazlan ditahan selama satu hari untuk siasatan dan hari ini sekali lagi akan dihadapkan ke mahkamah yang sama.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Roslan Zainal menyeru penyokong Pakatan Rakyat terutamanya ahli PAS hadir beramai-ramai di mahkamah pagi ini bagi memberikan sokongan kepada Mazlan