Akhirnya, Mahathir mengaku salah memecat Anwar

ad-dr-m-dsai.jpgAkhirnya, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed mengaku salah memecat bekas Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim daripada Umno dan segala jawatannya di dalam kerajaan dahulu.

Berdasarkan keratan klip video di internet, kita boleh membuat beberapa tafsiran tentang hal jenayah bekas Perdana Menteri ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Pertamanya, sudah tentulah ucapan itu datangnya daripada keinsafan hatinya. Rasa insaf itu mungkin berikutan tekanan yang diterima oleh Dr Mahathir akibat terlalu pincangnya demokrasi selama ini.

Mahathir marah benar terhadap Abdullah kerana suara beliau cuba ditenggelamkan, tidak dapat diapungkan ke media.

“Semua orang nampakkan bagaimana saya lakukan ke atas Anwar? Saya tangkap dia dan saya letakkan dia dalam tahanan,” kata Dr Mahathir sambil diiringi gelak ketawa hadirin.

Mereka ketawa kerana aksi Dr Mahathir menggawangkan tangannya ke udara seperti aksi menangkap seseorang lalu digenggam tangannya seraya mencampak sesuatu ke udara. Di situ pun khalayak sudah boleh tertawa dengan jenaka bekas Perdana Menteri itu.

Tetapi, entahlah ketawa itu untuk siapa dan atas tujuan apa? Mungkin mentertawakan diri sendiri, mentertawakan Mahathir atau sengaja untuk mengambil hati Mahathir? Wallahu ‘alam …

“Anwar tiada salah apa pun,” kata Mahathir

Lalu, beliau menyambung: “Padahal dia (Anwar) tidaklah bersalah walau sedikit apa pun. Tetapi, yalah pada ketika itu sukar untuk kawal keadaan.”

Mahathir mengaku bersalah menahan Anwar dalam penjara itu ketika dia berasa kesal ke atas Abdullah yang menggunakan polis bagi menahan orang-ramai sehingga terkuburnya suara khalayak untuk berucap.

Barangkali, Dr Mahathir pun tahu dan dia dapat mendengar suara hati hadirin. Dia mesti tahu, akan ada orang yang berkata dalam suara menyampah: “Eek, eleh… dulu pun Dr M buat macam tu juga!”

Oleh kerana beliau menyedari kewujudan suara-suara sebegitu, maka mungkinlah sebab itu juga bekas PM itu dengan cepat mengaku bersalah menghumbankan Anwar dalam.

Pengakuan itu dengan cepat menyebabkan imejnya menjadi kembali suci. Hanya, beliau mengaku bersalah, tetapi berdasarkan keratan klip video itu, belum lagi beliau meminta maaf secara terbuka kepada Anwar.

Mengaku salah dan meminta maaf adalah dua hal yang berbeza. Tetapi, Anwar pun telah memaafkan Mahathir sebelum itu lagi.

Saya buat pertama kalinya menonton klip video itu dalam yahoogroups SIM, tetapi hari ini (28 Februari) ‘link’ ‘url’nya telah pun dipadamkan. Tidak diketahui kenapakah ia ditarik keluar? Adakah ia dikeluarkan oleh ‘cyber troopers’ Umno?

Maka, tidak dapat saya memeriksa kalau-kalau terbit kenyataan minta maaf Dr Mahathir ke atas Anwar. Sukar untuk dibuat pemeriksaan juga oleh kerana klip video itu disunting. Dan, ada kemungkinan ucapan maaf itu telah tertanggal.

Tetapi, untuk lebih bersikap bertanggungjawab, biar ditulis di sini bahawa, hasil daripada penelitian peribadi saya, tidak terlihat kalimat lafaz minta maaf tersebut melainkan hanya cuma pengakuan bersalahnya kerana mencederakan reputasi Anwar.

Ertinya, terbatal segala tuduhan salah laku yang dihumbankan ke atas bekas TPM selama ini. Pertama, Anwar telah dibersihkan melalui mahkamah. Kedua, beliau telah dibersihkan melalui pengakuan kesilapan dan kesalahan Dr Mahathir sendiri.

Mengaku salah sudah, minta maafnya bila?

Apabila Dr Mahathir mengaku beliau terpaksa menipu ketika mengalami saat-saat sukar itu, ini mengingatkan saya kepada sebuah filem Bollywood bertajuk RAM lakonan Kamal Hasan dan Rani Mukherjee).

Di dalam pergelutan antara Muslim dan Hindu di India, Ram telah kehilangan kekasihnya lalu dia membawa diri ke sebuah kota lain. Sebenarnya pergelutan antara dua agama yang menyebabkan kematian kekasihnya itu dicetuskan oleh seorang ahli politik India.

Untuk merawat hatinya yang luka lara, Ram pergi ke sebuah kota. Kebetulan, ahli politik itu sedang berpidato di sebuah rumah. Ram meluru ke depan lalu bertanya soalan kepada ahli politik tersebut yang bertanggungjawab mencetuskan huru-hara di pekannya dahulu.

Terlihat di ruang mata, wajah kekasihnya yang meninggal dunia ketika dua puak sedang bertelagah menegakkan kebenaran di pihak masing-masing. Dengan hati panas membara, Ram bertanya kepada ahli politik yang sedang berpidato itu.

“Tuan menyeru ke arah kemerdekaan dan persaudaraan, tetapi bukankah tuan yang telah menyebabkan berlakunya peristiwa pergaduhan antara Hindu dan Muslim di pekan saya dahulu?” Ram bertanya bertalu-talu. Dia mahu ahli politik tersebut mengaku bersalah dan meminta maaf.

Ahli politik itu cuba mengelak, tapi akhirnya Mahatma Gandhi keluar dari celah belakang dan menepuk bahunya seraya memujuk ahli politik itu untuk segera meminta maaf.

Akhirnya, ahli politik itu merapatkan tangannya dan dalam esak tangis beliau memohon maaf kepada Ram dan semua pihak yang telah kehilangan keluarga pada malam berdarah itu. Gandhi pun berundur dan ceramah tamat di situ. Bagi Ram, segalanya telah selesai.

Moralnya, jika seseorang ahli politik itu mahu mengaku salah, memang hal itu pun boleh dilakukan. Tapi, untuk meminta maaf, mereka sangat memerlukan kekuatan dalaman.

Di mana maaf ke atas tindakan penggubalan Auku?

Tun Dr Mahathir mengaku terpaksa mengenakan tindakan ke atas Anwar dan jangan kita lupa bahawa pada tahun 1971 ketika beliau menjadi Menteri Pelajaran, sebuah akta yang memerangkap mahasiswa dan menjebak pensyarah universiti telah pun digubal.

Tentunya, Dr Mahathir akan berkata bahawa beliau melakukan semua itu kerana terpaksa juga memandangkan mahasiswa pada saat itu amat sukar dikawal. Dan, seperti biasa Anwar dan rakan-rakannya itulah yang telah hadir pada kemuncak kebangkitan mahasiswa itu.

Itulah gelombang pertama ketika Mahathir cuba menyekat Anwar dan sekutunya melalui Auku. Seterusnya, gelombang kedua ketika Anwar sukar dikawal apabila bekas TPM itu berada di dalam Umno. Dr Mahathir terpaksa melakukan beberapa tindakan lagi untuk menyekatnya buat kali kedua.

Kini, ketika tidak lagi berkuasa, Dr Mahathir tidak lagi boleh berbuat apa-apa melainkan beliau hanya menyeru kepada rakyat supaya jangan mengambil peduli kepada parti tetapi pilihlah calon yang dianggap terbaik. Inilah gelombang ketiga, iaitu gelombang kesedaran rakyat yang mampu menumbangkan BN.

“Inilah sahaja yang dapat dilakukan untuk menyelamatkan negara, memandangkan Umno sudah rosak,” kata Dr Mahathir dalam suatu kenyataan yang lain.

Sehingga kini ada suara-suara profesional dalam Umno yang mengikut rentak ucapan ini. Antaranya Presiden ProWaris Feriz Omar yang telah mengeluarkan kenyataan yang sama dalam Hujah (TV9) baru-baru ini dan Prof Dr Zainal Kling dalam acara forum di RTM.

Walhal, dahulu pun Dr Mahathir sebagai pemimpin parti BN, beliau juga meminta rakyat melihat kepada parti dan bukannya kepada calon sangat. Tetapi pandangan beliau sebagai negarawan tentunya lebih suci dan murni.

Ini kerana, ia disuarakan dalam niat bagi menyelamatkan rakyat dan negara. Semua lafaz ini tentunya sangat bermakna kepada rakyat dan negara. Apa yang diperlukan oleh beliau ialah sebanyak-banyaknya ucapan maaf kepada rakyat seiring dengan kezaliman di dalam tempoh 22 tahun pemerintahan ini.

Antara implikasi lain berhubung pengakuan Mahathir yang tersilap memenjarakan Anwar ini ialah suatu hakikat yang agak terselindung mengenai ‘haramnya’ kedudukan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri dalam tempoh sepenggal yang lalu. Jadi, beliau ambil tempat Anwar secara tak sah. Agaknya, sebab itu pentadbiran Abdullah tak berkat.

Abdullah mesti tahu Anwar dianiaya. Abdullah orang dalam (‘insider’) Umno. Tanpa perlu Mahathir mengaku salah memenjarakan Anwar sekali pun, Abdullah mesti tahu bahawa Anwar tidak bersalah. Mustahil Abdullah yakin bahawa Anwar bersalah. Tetapi, Abdullah tidak peduli semua itu.

Dia mahukan jawatan PM walau dalam apa situasi sekali pun. Abdullah sanggup berjanji secara lisan dengan Dr Mahathir jika beliau ‘dianugerahkan’ jawatan sebagai PM oleh Dr Mahathir. Apabila beliau mendapat jawatan, Abdullah sanggup mungkir janji.

Kalau isu berhubung perjanjian lisan ini ditanyakan kepada Najib Tun Razak, dia sendiri pun tahu, tapi mana boleh Najib mengaku bahawa dia tahu. Semua orang dalam atau pun ‘insiders’ ini akan menipu dan berhelah guna menonjolkan imej sucinya dan melestarikan diri dengan watak bersih, kononnya tidak tahu apa-apa dan tidak bersalah.

Jikalau Abdullah Ahmad Badawi perampas pertama jawatan TPM daripada Anwar, maka Najib ialah perampas kedua jawatan TPM daripada Anwar. Dr. Mahathir telah mengaku bersalah, tetapi dia belum diberikan kesempatan untuk memohon maaf.

Abdullah dan Najib yang sedang mabuk kuasa sudah tentu dikhatamkan hati mereka itu buat masa ini untuk mengaku bersalah, apatah lagi untuk meminta maaf. Syahadan, demikianlah nilai-nilai hadhari itu.

Sekolah Pemikiran Jalan Pahang Barat,
7:59 p.m, 28 Februari
Cetak

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: