Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
PAS adalah merupakan sebuah organisasi siyasah, dakwah dan tarbiyah yang ditubuhkan sejak dari tahun 1951 dan pernah berhadapan dengan suasana yang lebih getir dalam lipatan sejarah perjuangannya.
Semuanya berjaya dihadapi dan terus menerus mematangkan organisasi parti sehinggalah PAS mencapai kedudukan yang ada pada masa kini.
Sehubungan dengan itu, saya meminta seluruh ahli dan kepimpinan PAS di pelbagai peringkat untuk bersabar dan bertenang dalam menghadapi persoalan dalaman parti pada waktu ini.
Persoalan yang timbul ini tidak akan dapat diselesaikan menerusi penggunaan media massa dan media baru.
Ianya perlu diselesaikan secara musyawarah dengan berpegang kepada budaya dan panduan yang menjadi pegangan PAS, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya.
Saya juga sudah mengarahkan Datuk Setiausaha Agung PAS untuk menentukan tarikh yang sesuai di waktu terdekat ini untuk diadakan satu mesyuarat bagi membincangkan persoalan yang timbul ini.
Kita berdoa agar Allah SWT senantiasa memberikan taufik dan hidayah Nya kepada kita semua dalam usaha untuk merungkai permasalahan ini dan seterusnya memperkukuhkan parti.
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)
6 Zulkaedah 1430 H bersamaan 25 Oktober 2009 _




















Petikan dari Blog Pahangdaily:PONTIAN, 2 Okt – Jenazah Noordin Mohd Top (foto) selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Melayu Pontian Besar Kiri pada jam 6.45 petang tadi. Upacara pengkebumian itu yang dihadiri ahli keluarga Allahyarham dan ratusan penduduk kampung itu berlangsung dengan kawalan polis. Sebahagian hadirin melaungkan takbir sebanyak tiga ketika jenayah Noordin dibawa ke liang lahat untuk dikebumikan. Terdahulu, jenazah beliau yang dibawa dengan van Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tiba di sini pada jam 6 petang tadi dan disembahyangkan di Masjid Kampung Melayu Pontian, kira-kira dua kilometer dari tanah perkuburan. Jenazah beliau dibawa pulang dari Jakarta dengan pesawat Malaysia Airlines MH 710 tengah hari tadi dengan diiringi isteri pertama Noordin, Rahmah Rusdi, dan abang Noordin, Yahya, serta adik iparnya Firdaus Rusdi. Noordin yang selama sembilan tahun menjadi buruan utama polis Indonesia kerana dipercaya menjadi dalang beberapa pengeboman, termasuk yang terbaru di Hotel Ritz Carlton dan JW Marriott di sini, ditembak mati oleh polis di sebuah rumah di Solo, Jawa Tengah pada 17 September. Tiga rakan pengganasnya turut ditembak mati di dalam rumah itu, di mana polis menemui 200 kilogram bahan letupan, senjata api dan pelbagai dokumen berkaitan kegiatan mereka.









