KUANTAN, 13 Dis (Bernama): Satu lagi daerah di Pahang dilanda banjir menyebabkan bilangan penduduk di negeri itu yang ditempatkan di pusatpusat pemindahan meningkat kepada 10,097 orang sehingga pagi ini berbanding 6,639 orang malam tadi.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata daerah baru yang mula terlibat dengan banjir ialah Temerloh dengan seramai 409 orang daripada 80 keluarga.
Sehingga 9 pagi ini, mangsa banjir di daerah Rompin ialah seramai 2,475 orang), Maran (2,878 orang), Pekan (1,370 orang), Kuantan (1,040 orang), Bera (1,030 orang), Bentong (138 orang), Raub (625 orang) dan Jerantut (132 orang), katanya kepada Bernama hari ini.
Di Maran sebanyak 34 pusat pemindahan dibuka, Rompin (22), Pekan (20), Raub (14), Kuantan (15), Bera (11), Jerantut (tujuh), Temerloh (tujuh) dan Bentong (satu).
Katanya laluan di Km84.7 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) ditutup kepada semua kenderaan dan menurutnya, pengguna yang masuk dari plaza tol Lanchang diminta menggunakan Jalan Cinta Manis, Felda Lakom dan Bukit Damak.
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat mendadak pagi ini berikutan hujan lebat sejak petang semalam menyebabkan paras air di sungai-sungai utama naik semula setelah keadaan air banjir semakin surut sejak dua hari lepas.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, berkata jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan kini meningkat kepada seramai 2,600 orang berbanding 1,312 orang semalam.
Setakat pagi ini, mangsa banjir di jajahan Kuala Krai ialah seramai 736 orang, Jeli (834), Pasir Mas (597), Machang (lapan), Tanah Merah (311) Tumpat (78) dan Kota Baharu (36), katanya.
Sementara semua pusat pemindahan di Gua Musang telah ditutup.
Menurutnya, Jalan Machang-Kuala Krai di Sungai Durian ditutup kepada semua lalulintas berikutan dinaiki air sedalam 2 meter manakala jalan utama yang menghubungkan Jeli ke Kuala Balah ditutup kepada kenderaan ringan kerana dinaiki air sedalam 1 meter.
Jalan Pantai Cahaya Bulan di Kota Baharu masih ditutup kepada semua kenderaan kerana dinaiki air sedalam 1.5 meter, katanya.
Jabatan Pengairan dan Saliran negeri melaporkan paras air di Sungai Kelantan kini melepasi paras bahaya iaitu di Tambatan Diraja Kota Baharu pada paras 5.79 meter (bahaya 5 meter), Tangga Krai pada paras 27.15 meter (bahaya 25 meter), Kusial pada paras 17.26 meter (bahaya 16 meter) dan Sungai Lebir di Tualang pada paras 336.30 meter (bahaya 35 meter).
Paras air di Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah pada paras 24.77 meter (bahaya 23.50) dan Sungai Golok di Rantau Panjang 9.98 meter (bahaya 9.00 meter) manakala paras air di dua buah sungai melebihi paras waspada iaitu Sungai Semerak di Pasir Puteh pada paras 0.98 meter (waspada 2 meter/bahaya 3 meter) dan Sungai Galas di Dabong pada paras 35.08 meter (waspada 32meter/bahaya 38 meter).
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan cuaca di negeri Kelantan kini di peringkat jingga dengan hujan dan ribut petir sederhana.
Peringkat jingga adalah peringkat amaran hujan monsun sederhana dengan kelajuan angin 50-60 kmj disertai hujan sederhana menjadi lebat manakala peringkat kuning adalah tahap amaran biasa dan peringkat merah merupakan tahap amaran tertinggi dan berbahaya.
Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir juga meningkat kepada 260 orang daripada 63 keluarga berbanding 60 orang malam tadi.
Kesemua mangsa banjir adalah dari Pasir Raja, Hulu Dungun yang ditempatkan di dua pusat pemindahan, menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri.
Beliau berkata hanya Pasir Raja dilanda banjir di negeri ini setakat ini.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPs) negeri melaporkan paras air di Sungai Dungun, Sungai Besut dan Sungai Setiu berada di tahap amaran setakat pukul 8 pagi ini.
Paras air di sungai Dungun iaitu di Kampung Pasir Raja ialah setinggi 36.52 meter (bahaya 37.99 meter), di Kampung La, Sungai Besut di paras 18.44 meter (amaran 18.2 meter) dan Ibu Pejabat Bekalan Setiu, Sungai Setiu pada paras 7.64 meter (amaran 7.6 meter).
Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di negeri ini sehingga pukul 8 pagi ini meningkat kepada 13,945 orang daripada 3,353 keluarga berbanding seramai 13,023 orang daripada 3,146 keluarga malam tadi.
Menurut kenyataan Bilik Gerakan Banjir Johor, sesemua mangsa kini ditempatkan di 80 pusat pemindahan dengan Segamat sejumlah 56 pusat, Johor Baharu (sembilan), Muar (lima), Batu Pahat (lima), Kluang (tiga) manakala Kota Tinggi dan Mersing masing-masing sebuah pusat pemindahan.
Segamat terus merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 8,892 orang, Johor Baharu (4,231), Kluang (340), Mersing (113), Muar (213), Batu Pahat (135); dan Kota Tinggi (21).
Di Segamat, jalan yang masih ditutup ialah Jalan Tungku Tiga (Jambatan Sungai Rangla), Jalan Kampung Jawa dan Jalan Kuala Paya-Balai Badang (Serakik).
Jalan yang hanya boleh dilalui kenderaan berat di daerah itu ialah Jalan Jabi Sermin-Bukit Tempurong, Jalan Kampung Jawa-Medoi, Jalan Kampung Jawa (Padang Lalang), Jalan Tungku Tiga (Kampung Tengah), Jalan Tungku Tiga (Segamat), Jalan Segamat-Tangkak (Jambatan Sungai Bunggor), Jalan Pogoh-Tekam (paya Pulai), Jalan Muar Kampung Batu Badak (Sungai Bungor) dan Jalan Pogoh-Tekam (Lubok Selumat).
Jalan lain yang ditutup ialah Jalan Parit Sulong ke Simpang Kilang Munchy’s di Batu Pahat, Jalan Tanah Abang di Mersing, Km60, Jalan Bukit Kepong-Labis di Muar manakala di Km61 Jalan Bukit Kepong-Labis pula hanya boleh dilalui kenderaan berat.
Menurut kenyataan itu, mayat dua lelaki masing-masing dilaporkan hilang di sungai Kampung Tengah dan Kampung Kuari, Segamat turut ditemui semalam.
Mayat Lim Tong Tar, 44, yang beralamat di Nombor 130, Kampung Tengah ditemui pada pukul 6 petang manakala mayat seorang lagi lelaki yang hanya dikenali Ng Wee, 74, ditemui pada pukul 10 malam.
Ahad lepas, seorang remaja lelaki Mohd Irwan Mohd Nazam, 13, dari Kampung Paya Pulai, Segamat turut ditemui mati lemas selepas dihanyutkan arus deras sungai berkenaan.





























