KUALA LUMPUR: 4.Ogos – Mantan PM Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menjalani pembedahan pintasan koronari di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pada pukul 8 pagi ini.
Anak beliau, Datuk Mukhriz berkata, ayahnya akan dimasukkan ke bilik pembedahan pada pukul 6.45 pagi dan pembedahan dijalankan pada pukul 8 pagi
‘‘Saya menjangka pembedahan mengambil masa empat hingga enam jam bergantung kepada tahap kesihatan ayahanda saya,’’ katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Kampung Baru di sini selepas satu majlis solat hajat.

Mukhriz mengharapkan rakyat Malaysia sama-sama mendoakan Dr. Mahathir selamat menjalani pembedahan pagi esok.
Solat hajat memohon kejayaan pembedahan tersebut diadakan di Masjid Jamek Kampung Baru malam ini diimamkan oleh Imam Besar masjid itu, Abdul Ahad Abu Bakar.
Seramai 100 orang menunaikan solat hajat itu termasuk Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Aziz Shamsudin, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim dan bekas Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Khalid Yunus.
Mukhriz berkata, bekas Perdana Menteri itu berada dalam keadaan sihat menjelang pembedahannya dan boleh bercakap seperti biasa.
‘‘Pembedahan itu memang dalam perancangan kami… ia bukan disebabkan beliau mengalami serangan jantung mengejut,’’ katanya.
Beliau menjelaskan, pembedahan tersebut adalah susulan daripada pembedahan pintasan koronari pertamanya pada tahun 1989.
‘‘Tun (Dr. Mahathir) mengalami serangan jantung ketika berada di Langkawi baru-baru ini dan pembedahan mesti disegerakan untuk mengelak terjadi lagi serangan pada masa akan datang,’’ jelas Mukhriz dalam nada tenang.
Dr. Mahathir, 81, menjalani pembedahan pintasan koronari pertamanya di Hospital Besar Kuala Lumpur kira-kira 18 tahun lalu pada 24 Januari 1989.
Dr. Mahathir yang melalui kehidupan aktif walaupun selepas bersara baru-baru ini menjadi tetamu kehormat pada perbarisan Hari Kemerdekaan Ke-50 di Dataran Merdeka di sini.
Menurut Mukhriz, ayahnya masih dalam keadaan normal dan sihat tetapi doktor tidak menggalakkan beliau menerima pengunjung terlalu ramai.“Doktor mahu ayahanda saya berehat sebelum pembedahan itu.
‘‘Semangat ayahanda saya masih kuat malah selera makannya masih ada kerana dia sempat berpesan pada saya supaya membeli makanan kegemarannya iaitu kuih koci dan apam manis,’’ kata beliau.
Mukhriz menjelaskan, ayahnya yakin kebarangkalian untuk sembuh selepas pembedahan itu adalah tinggi berdasarkan kecanggihan teknologi rawatan sekarang..
Beliau bagaimanapun melahirkan sedikit kebimbangan keadaan Dr. Mahathir selepas pembedahan.
Proses untuk sembuh, katanya, mungkin mengambil masa yang lama.
Pada pukul 6 petang ini, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut berada di IJN melawat bekas Perdana Menteri itu yang mentadbir Malaysia selama 22 tahun.
Beliau juga diberitahu bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah dimaklumkan mengenai rancangan pembedahan itu oleh Dr. Mahathir sendiri.
Turut melawat Dr. Mahathir di IJN hari ini ialah Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd. Johari Baharum.- Utusan































4 November 2007 at 5:51 pm
[...] kejayaan doktor kita di ruang-ruang akhbar. Antaranya kisah kejayaan pemindahan koronari Mantan Perdana Menteri. Tak lupa kisah masalah Hui Yee yang ditangani wira-wira kita. Satu demi satu kepingan [...]