TEMERLOH, 29 Ogos(Hrkh) – Tiga bekas ahli panel Forum Perdana Hal Ehwal Islam di Radio Televisyen Malaysia (RTM1) suatu ketika dulu, Dato’ Dr Haron Din, Dato’ Ismail Kamus dan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man akan menyertai Forum Kemerdekaan di Kerdau pada 30 Ogos ini (esok).
Forum anjuran Jabatan Penerangan PAS Pahang (Jpen) itu akan dipengerusikan oleh Ustaz Kamal Saari.
Pegawai Jpen, Khairil Abdul Rahim berkata, Jpen mengambil tanggungjawab menganjur ‘Forum Merdeka’ sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke- 50 bagi memberi pilihan kepada rakyat.
Ini kerana kebanyakan program sambutan kemerdekaan anjuran kerajaan serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lebih menjurus kepada hiburan atau pesta.
“Kita anjurkan program berbentuk ilmiah bagi meningkatkan kefahaman rakyat mengenai kemerdekaan menurut pandangan Islam, ketika pihak lain sibuk dengan hiburan,”ujarnya.
Kehadiran tiga tokoh bekas ahli panel Foram Perdana Ehwal Islam TV 1 yang digam oleh semua televisyen dinegara ini harus dimanfaat oleh umat Islam khususnya di Pahang.
Ketiga-tiganya digam stesyen TV bukan kerana melakukan apa-apa kesalahan tetapi kerana RTM dan media lain adalah sebahagian daripada jentera propaganda Umno/BN. Hanya tokoh yang sanggup menjadi alat Umno / BN sahajalah muncul di TV1 saban waktu.
Sebagai jentera propoganda, RTM serta media lain, kata Kharil lebih rela memberi slot siarannya kepada penyanyi yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah, moral dan sebagainya daripada memberi ruang kepada ketiga-tiga tokoh-tokoh itu.
“Kerana RTM dan media lain adalah sebahagian daripada jentera propaganda Umno/BN, ia lebih rela memberi slot siaranya kepada artis yang terlibat dengan dadah, dedah dan sebagainya.
“Rakyat seharusnya boleh dan menilai sendiri apakah jenis pemimpin yang diberi kuasa memimpin media itu,” ujarnya.
Mengenai Forum berkenaan, Khairil menjangkakan sambutan menggalakkan daripada orang ramai memandangkan tokoh terbabit mempunyai peminatnya sendiri, apatah lagi ketiga-tiganya sudah lama tidak muncul di Pahang. – mks.






























