Pilihan raya umum: Negara kebajikan, tabung biasiswa antara tawaran PAS

 nash_122.jpg

TEMERLOH, 28 Ogos (Hrkh) - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa yakin PAS mampu menjadikan Malaysia sebagai negara kebajikan sekiranya PAS diberi mandat untuk memerintah.

Menurutnya , Malaysia mempunyai sumber ekonomi yang banyak seperti minyak, gas dan sebagainya tetapi kekayaan tersebut tidak dimanfaatkan untuk kebajikan rakyat sebaliknya diguna untuk tujuan lain.

Beliau berkata, sungguhpun Petronas untung berbilion ringgit setahun tetapi keuntungan itu dibelanja kepada projek yang tidak memberi faedah secara langsung kepada golongan miskin seperti membina gelanggang lumba kereta dan menganjurkan perlumbaan kereta dunia Formula 1, menaja rombongan ekspedisi keluar negara dan sebagainya.

Katanya, PAS akan memasukkan isu menjadikan Malaysia sebagai negara kebajikan ini di dalam manifesto pilihan raya umum ke-12 yang sedang dirangka. Ia akan ditawarkan kepada rakyat dalam pilihan umum akan datang.

Beliau berkata, hasil minyak yang banyak itu mampu memberi kebajikan kepada rakyat termasuk memberi pendidikan percuma. “Hasil minyak petronas yang banyak itu mampu memberi kebajikan kepada rakyat malah menurut satu kajian jika Petronas membayar zakat ia mampu menampung kos pembelajaran untuk semua pelajar di negara ini, ertinya rakyat akan mendapat pendidikan percuma,”ujarnya ketika berucap sempena lawatan kerja beliau ke Pahang baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, jika berkuasa PAS akan mengujudkan mewujudkan ‘Tabung Pendidikan’ khusus yang akan menyediakan biasiswa bukan pinjaman kepada pelajar. – mks.


Tinggalkan jawapan

Anda mesti log masuk terlebih dahulu untuk mengirim komen.