PETALING JAYA: Seorang bayi lelaki berusia 11 bulan, dipercayai mangsa penderaan, telah meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) dekat sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata mangsa Mohd Naim Almazaadi, yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) SJMC sejak Rabu lepas, meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah malam tadi.
Mohd Naim, anak bongsu dari tiga beradik dan tinggal di Putra Heights, dekat sini, dikejarkan ke hospital berkenaan oleh ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri setelah dipercayai menjadi mangsa dera pembantu rumahnya.
Hasil pemeriksaan perubatan terhadap Mohd Naim, pihak hospital menemui beberapa kesan lebam dipercayai akibat didera.
Berikutan itu, polis telah menahan reman seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia 32 tahun mulai Jumaat lepas hingga Rabu ini bagi membantu siasatan.
“Polis telah mengklasifikasikan semula kes siasatan terhadap pembantu rumah itu berikutan kematian bayi tersebut,” katanya pemberita selepas melakukan lawatan pertamanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, dekat sini, hari ini.
Khalid berkata pembantu rumah itu kini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sebelum ini, wanita berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31A Akta Kanak-kanak 2001 kerana penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.
Dalam kes berasingan, sepasang suami isteri akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini Khamis ini atas tuduhan menyebabkan kematian seorang pembantu rumah warga Indonesia di sebuah rumah di Puchong Perdana, dekat sini, pada 15 Ogos lepas.
Khalid berkata suri rumah berusia 29 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh pembantu rumahnya yang hanya dikenali sebagai Kunasir, 24.
Katanya suami wanita berkenaan, seorang kontraktor berusia 30 tahun, akan didakwa mengikut Seksyen 201 akta yang sama kerana menyembunyikan dan memusnahkan bahan-bahan bukti berhubung kejadian itu.
“Kami telah mendapat arahan dari Timbalan Pendakwa Raya untuk mendakwa pasangan itu,” katanya.
Pada 15 Ogos lepas, mangsa ditemui mati di dalam biliknya oleh majikannya yang pulang ke rumah di Puchong Perdana, dekat sini, kira-kira pukul 7 petang.
Mangsa yang baru datang ke Malaysia empat bulan lepas dipercayai menjadi mangsa dera berdasarkan kecederaan yang ditemui di bahagian leher dan badannya.
Berikutan itu, polis telah menahan reman pasangan suami isteri itu. Pasangan tersebut mempunyai dua anak masing-masing berumur dua bulan dan empat tahun. BERNAMA






























